Budaya Internet Tidak Menghakis Pemikiran Kritis
October 9th, 2009 by mrboBetapa hebatnya fikir manusia akhirnya besi yang berat dapat terbang di udara, betapa hebatnya fikir manusia akhirnya besi yang berat dapat terapung pada permukaan air dan betapa hebatnya fikir manusia akhirnya ilmu dapat merentasi tembok besar China sehingga ke banjaran Himalaya.
Apa yang hendak disampaikan, sekiranya pemikiran manusia diasah dengan baik, pemikiran itu dapat diterjemahkan kepada tindakan yang membantu dalam ketamadunan hari ini. Allah S.W.T berfirman:
“katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan tidak mengetahui? Sesungguhnya hanya yang menerima peringatan adalah orang yang berakal”
(Az-zumar: 9)
Salah satunya adalah pembentukan ke arah pemikiran kritis, sebagaimana menurut buku Psikologi Kognitif terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu kecekapan dan keupayaan otak untuk menilai kewajaran idea, meneliti kebaikan dan keburukan sesuatu perkara serta membuat pertimbangan dengan alasan dan bukti yang kukuh.
Asasnya, objektif pemikiran kritis menuntut proses perkembangan, pencernaan dan percambahan idea dalam menentukan sesuatu kepastian mahupun mendiagnosis dalam penyelesaian masalah seperti mana kata-kata Imam Al-Ghazali, agar umat Islam tidak bersifat taklid iaitu tidak menerima sesuatu perkara tanpa usul periksa.
Melatari perubahan teknologi, Internet adalah salah satu instrumen yang digunakan sebagai alat untuk keperluan perhubungan, penyampaian dan sebagainya dalam masyarakat siber hari ini.
Timbul persoalan, adakah Internet menghalang minda manusia daripada melakukan analisis maklumat dan mengekang keboleh fikiran seseorang? Adakah Internet perlu dipersalahkan kerana penyebaran dakyah dan ideologi yang merosakkan fikiran manusia?
Jangan kerana cyberphobia, kita menolak kecanggihan jaluran nano informatif Internet sehingga kita diibaratkan katak di bawah tempurung. Marilah sama-sama kita bermuhasabah dan mengubah orientasi tabiat manusia untuk menggunakan Internet sebagai gedung pengetahuan ke arah pembentukan citra pemikiran masyarakat abad ke-21 yang hebat. Internet merupakan teknologi masa kini yang membolehkan manusia berfikir dan merubah keadaan yang akan memberikan manfaat dan kebaikan bersama.
Dua perspektif akan dikemukakan iaitu
- Internet adalah gedung informasi dan penyebaran maklumat yang proaktif
- Budaya Internet menjadi amalan komunikasi yang efektif tanpa sempadan
Gedung Informasi dan Penyebaran Maklumat yang Proaktif
‘Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China’
Betapa Islam menuntut umatnya mendalami ilmu pengetahuan agar menjadi aset yang berharga untuk menjadi masyarakat madani yang cemerlang, sebagaimana hadith Rasulullah S.A.W:
“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim”
Maka, dengan kepesatan teknologi maklumat telah merubah sistem yang lebih pantas dalam proses pencarian ilmu pengetahuan pelbagai bidang tidak kira cendekiawan, budayawan, ahli akademik, jurnalis, pelajar-pelajar, orang kenamaan, ahli politik sehinggalah pekebun kecil berebut-rebut untuk meninggikan taraf keilmuan.
Daripada sistem tradisional dengan mengunjungi perpustakaan, tapi modenisasi telah membawa maklumat hanya di hujung jari anda dengan formula 4A iaitu anywhere, anyhow, anyone dan anything. Bahkan, penggunaan hiperteks memudahkan bahan-bahan bacaan untuk diperolehi.
Internet juga ibarat perpustakaan maya yang mengumpulkan ilmu dan pangkalan data yang tidak terhingga dengan hanya menekan tetikus untuk melayari laman-laman sesawang yang ada.
Pengguna Internet di Arab Saudi hampir mencecah 25 juta orang yang telah mengakses Internet bagi tujuan penerokaan ilmu dan 50 daripada 150 laman sesawangnya yang popular adalah berkaitan pendidikan nilai spiritual dan keagamaan. Bahkan, negara-negara maju mempunyai Indeks Kepentingan Maklumat (IEI) yang tinggi kerana penggunaan Internet yang meluas.
Rakyat Malaysia mula menerima Internet pada awal tahun 1990 manakala penggunaan jalur lebar pada tahun 2001. Dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan kemunculan National Information Technology Council (NITC) telah menganjalkan doktrin penyebaran ilmu kepakaran pelbagai bidang termasuklah akses online journal dan e-Book bagi rangkaian pengguna di universiti, telah meninggikan status penerokaan ilmu yang lebih canggih dan berdaya saing. Bahkan, Malaysia merupakan antara 10 buah negara di Asia yang mempunyai bilangan pengguna Internet paling ramai.
Tuntasnya, keperluan Internet telah mendesak masyarakat siber hari ini untuk menjadikan medan maya sebagai gedung pengetahuan yang dapat digunakan sebagai aset keboleh fikiran seseorang. Kita mungkin tidak dapat melakukan pengembangan idea yang baik sekiranya persekitaran tidak diperkaya dengan maklumat. Pastinya, Internet adalah jawapannya.
Budaya Internet: Amalan Komunikasi yang Efektif
Internet menggalakkan perkongsian ilmu dan diskusi siber seperti telesidang yang dapat meningkatkan kebarangkalian mobiliti idea dan pengembangan pemikiran. Apabila wujud pertembungan interaksi, secara tidak langsung dapat membetuli miskonsepsi antara satu sama lain. Bahkan, Internet turut memberi ruang dan peluang untuk melaksanakan urus niaga yang efisien dan menjimatkan tenaga.
Sesungguhnya, persepsi negatif dan Islamophobia semakin menebal dalam kondisi hari ini. Namun, dengan kehadiran Internet sebagai laman perbincangan maya seperti Islamonline.com menjadi platform yang berkesan untuk memperbetul imej Islam.
Internet adalah medium bagi generasi muda. Sudah pasti, pembabitan remaja dengan impak siber terkandung erat fasa moral, perkembangan dan pembentukan intelektualisme serta idealisme mereka. Sering kali mereka ini dikaitkan budaya hedonisme tatkala menggunakannya. Selagi mana mereka berpegang pada Al-Quran dan As-Sunnah serta memegang prinsip yang mulia, perkara-perkara yang kurang elok dapat dihindari.
Usahlah disalahkan Internet, kerana itu hanyalah alat umpama pisau. Tujuan asalnya untuk kegunaan harian namun apabila disalahgunakan oleh pelakunya, pisau itu boleh berbahaya. Dalam konteks ini, usahlah disalahkan Internet tatkala kebejatan moral yang sangat merisaukan. Sedarlah, selagi mana mereka didedahkan dengan kandungan dan maksud komunikasi yang sebenarnya, Internet adalah batu loncatan kepada proses transformasi dalam proses sosial remaja dan penjanaan pandangan mereka yang dikalsifikasikan sebagai cendekia muda alaf baru seterusnya membina keboleh fikiran mereka.